AGENSI

Unisel perluas kerjasama antarabangsa, meterai MoU dengan universiti di Indonesia

6 Mac 2023, 2:58 PM
Unisel perluas kerjasama antarabangsa, meterai MoU dengan universiti di Indonesia

SHAH ALAM, 6 MAC: Universti Selangor (Unisel) memeterai 15 Memorandum Persefahaman (MoU) dan dua Memorandum Perjanjian (MoA) dengan beberapa universiti di Sumatera Barat, Indonesia baru-baru ini.

Presiden dan Naib Canselornya Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata kerjasama itu diharap dapat melebarkan jaringan Unisel di peringkat antarabangsa khususnya dalam bidang akademik.

"Kerjasama ini diharapkan dapat melebarkan lagi jaringan Unisel di peringkat antarabangsa khususnya dalam bidang akademik melalui pertukaran pelajar, penganjuran seminar, penyelidikan dan penerbitan," katanya menerusi Facebook.

Mohammad Redzuan berkata kesemua MoU dan MoA itu ditandatangani pada 26 Februari hingga 2 Mac ketika kunjungan delegasi Unisel ke Indonesia.

Beliau berkata sempena kunjungan itu, Unisel turut mengadakan dua sesi viva pelajar doktor falsafah (PhD) di Universitas Tamansiswa dan Universitas Dharma Andalas.