ad
AGENDA

Putrajaya terima 564 laporan mangsa ditipu sindiket kerja luar negara

15 Feb 2023, 1:13 PM
Putrajaya terima 564 laporan mangsa ditipu sindiket kerja luar negara

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Kementerian Luar Negeri (KLN) menerima sejumlah 564 laporan mengenai warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara, setakat Isnin lepas (13 Feb).

KLN berkata daripada jumlah laporan yang didapati melalui Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok (Thailand), Phnom Penh (Kemboja), Vientiane (Laos) dan Yangon (Myanmar) itu, seramai 401 orang berjaya diselamatkan, dengan 377 orang telah dihantar pulang.

“Baki seramai 24 orang yang lain sedang ditahan di depoh tahanan sementara menunggu proses pengusiran pulang, manakala 163 orang lagi masih sedang dikesan,” menurut KLN dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen di sini.

Ia sebagai menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang antara lain mahu kementerian menyatakan mengapa tindakan tidak diambil untuk membantu menyelamatkan warga Malaysia yang ditipu dan diculik oleh sindiket scam pekerjaan di Kemboja dan mengapa Special Task Force tidak ditubuhkan untuk berunding dengan pihak Kemboja.

KLN turut memaklumkan Task Force yang diketuai oleh KLN dan melibatkan agensi-agensi berkaitan telah pun ditubuhkan bagi menangani isu ini secara bersepadu dan menyeluruh.

Ia adalah satu kesinambungan kepada usaha berterusan antara pihak kementerian dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di luar negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bermula sejak suku pertama tahun 2022 lagi untuk menangani isu ini.

KLN mahupun PDRM juga tidak pernah menggalakkan pihak keluarga untuk membayar sebarang wang tebusan atau merujuk kepada pihak persendirian mahupun badan bukan kerajaan dalam mengendalikan perkara itu.

“Waris mangsa sentiasa disarankan untuk melaporkan kepada pihak PDRM dan merujuk dengan KLN sekiranya waris beliau dikenal pasti terlibat dalam sindiket jenayah tersebut.

“Individu yang menerima tawaran pekerjaan di luar negara adalah digalakkan untuk membuat semakan tawaran tersebut terlebih dahulu dengan kementerian ini, Perwakilan Malaysia atau kedutaan negara yang berkenaan sekiranya khuatir atau was-was dengan tawaran yang diterima,” maklum kementerian itu lagi.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.