ADN

500 ekor ayam habis kurang dua jam di jualan murah DUN Sementa

15 Feb 2023, 8:51 AM
500 ekor ayam habis kurang dua jam di jualan murah DUN Sementa
500 ekor ayam habis kurang dua jam di jualan murah DUN Sementa

KLANG,15 FEB: Sebanyak 500 ekor ayam terjual dalam tempoh kurang dari dua jam di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa di Dewan Orang Ramai Kampung Tok Muda, di sini hari ini.

Penolong Pengurus Pemasaran dan Perniagaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Khairul Hakimin Shafii berkata selain ayam, 300 papan telur turut habis dijual.

[caption id="attachment_566680" align="alignleft" width="311"] Penolong Pengurus Pemasaran dan Perniagaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Mohd Khairul Hakimin Shafii. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

“Ayam dan telur memang barangan yang cepat habis tetapi di DUN Sementa ini keenam-enam barang kita bawa mendapat sambutan dan jualan juga seimbang.

“Setakat jam 12 tengah hari ini, dua barangan sahaja berbaki iaitu minyak dan daging,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, beliau memaklumkan jualan murah hari ini mendapat kerjasama penuh pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sementa bagi memastikan program berjalan lancar.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.