ad
AGENDA

Lelaki yang cedera ditikam pesakit mental di Hospital Selayang stabil

15 Feb 2023, 6:58 AM
Lelaki yang cedera ditikam pesakit mental di Hospital Selayang stabil

PUTRAJAYA, 15 FEB: Seorang pesakit lelaki yang cedera selepas ditikam seorang pesakit mental ketika dirawat di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang semalam, berada dalam keadaan stabil, kata Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

Beliau berkata lelaki itu segera diberikan rawatan kecemasan, dan selanjutnya telah menjalani pembedahan dengan kadar segera susulan kejadian yang berlaku pada pukul 3 petang semalam.

“Pesakit dalam keadaan sedar dan stabil selepas pembedahan di bawah pemerhatian Unit Rawatan Rapi di Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata kejadian berlaku terlalu pantas, dan jururawat serta pegawai perubatan yang berada di jabatan berkenaan telah mengambil tindakan segera menahan pesakit mental berkenaan dan menyerahkannya kepada pihak polis.

Menurutnya laporan polis berhubung perkara itu juga telah dibuat oleh pegawai perubatan yang menyaksikan kejadian dan kes masih dalam siasatan polis untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menerusi catatan di Twitter hari ini berkata mangsa yang cedera ditikam seorang pesakit mental di hospital berkenaan diberikan rawatan terbaik.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.