ad
AGENDA

Kerajaan kenal pasti 830 sekolah daif untuk dibaik pulih

14 Feb 2023, 3:07 AM
Kerajaan kenal pasti 830 sekolah daif untuk dibaik pulih

PUTRAJAYA, 14 FEB: Sebanyak 830 sekolah dikenal pasti mempunyai blok bangunan yang memerlukan penggantian atau pembangunan semula sehingga 31 Januari lepas, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dalam kenyataan semalam memaklumkan ia memberi keutamaan untuk melaksanakan projek penggantian kepada blok bangunan di sekolah yang berada pada skala 6 dan skala 7 mengikut analisis skor gred impak bagi mengenal pasti bangunan-bangunan daif.

"Bilangan bangunan daif ini adalah dinamik selaras dengan penyelesaian pelaksanaan pembangunan semula dan penerimaan untuk mengesyorkan tahap keselamatan bangunan oleh agensi teknikal.

"Projek yang diangkat untuk kelulusan pelaksanaan terdiri daripada senarai sekolah yang mempunyai bangunan daif pada skala 6 dan 7," kata KPM.

Skala 6 merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) manakala skala 7 merujuk kepada bangunan tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

KPM berkata ia komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif untuk kegunaan murid dan warga sekolah di seluruh negara.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek semalam dilaporkan berkata pembangunan sekolah daif di seluruh negara akan dilaksanakan secara berfasa dan fasa paling penting adalah selepas Bajet 2023 dibentangkan pada 24 Februari ini.

Sementara itu, KPM turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau dalam mengutamakan isu sekolah daif.

Anwar pada 11 Februari berkata tumpuan kerajaan ketika ini ialah untuk segera menyelesaikan masalah sekolah daif di seluruh Malaysia demi kebajikan anak-anak selain meningkatkan mutu pendidikan negara. - BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.