AGENDA

Dua trak istimewa dengan barang tambahan meriahkan program jualan murah

12 Feb 2023, 10:07 AM
Dua trak istimewa dengan barang tambahan meriahkan program jualan murah
Dua trak istimewa dengan barang tambahan meriahkan program jualan murah

PUCHONG, 12 FEB: Dua trak istimewa Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang membawa barangan tambahan memeriahkan lagi program Jualan Ehsan Rakyat (JER) di seluruh negeri ini.

Penyelia Unit Jualan PKPS Farid Mustafa berkata trak membawa barangan keperluan berbeza itu tidak mempunyai jadual tetap seperti kenderaan terlibat dalam program ketika ini.

“Biasanya trak PKPS akan mengunjungi sembilan lokasi setiap hari, tetapi sejak Disember tahun lalu kita tambah dua lagi yang membawa barangan tambahan.

“Antaranya adalah kicap, sos tomato dan cili, gula serta beras pulut. Lokasinya juga kami tidak maklumkan di laman sosial PKPS seperti kebiasaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

[caption id="attachment_565987" align="alignright" width="360"] Penyelia Unit Jualan PKPS Farid Mustafa. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

Farid menjelaskan lokasi dipilih berdasarkan maklum balas pada jualan sebelum ini dan hebahan diuruskan Pusar Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

“Sebagai contoh, kita akan pilih lokasi yang mendapat maklum balas bahawa barangan yang kita bawa dalam program JER sebelum ini tidak cukup untuk penduduk.

“Jadi, kita akan turun sekali lagi dan bawa lebih barangan jualan. Setakat ini sambutan diterima amat baik,” katanya.

Kerajaan Negeri melancarkan JER sejak September tahun lalu dan berjaya memanfaatkan lebih 500,000 pembeli dengan subsidi berjumlah RM5 juta.

JER 2.0 dilancarkan bermula 15 Januari lalu sehingga Mac hadapan yang dijangka memberi manfaat kepada 800,000 penduduk Selangor.