AGENDA

Amaran hujan lebat lima daerah di Selangor, KL hingga 7 malam

12 Feb 2023, 8:08 AM
Amaran hujan lebat lima daerah di Selangor, KL hingga 7 malam

SHAH ALAM, 12 FEB: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang lima daerah di Selangor sehingga 7 malam ini.

MetMalysia menerusi Facebook memaklumkan lima daerah berkenaan ialah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.

Keadaan sama dijangka berlaku di seluruh kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Melaka.

Beberapa daerah di Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak diramal mengalami cuaca buruk yang sama.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.