AGENDA

Gempa bumi Turkiye: PM Anwar hubungi Presiden Erdogan, ucap takziah

11 Feb 2023, 4:14 AM
Gempa bumi Turkiye: PM Anwar hubungi Presiden Erdogan, ucap takziah

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan ucapan takziah serta doa kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan susulan bencana gempa bumi yang menimpa Turkiye Isnin lepas.

Menurut ciapan dalam Twitter rasminya hari ini, Anwar memaklumkan beliau telah berhubung dengan Presiden Turkiye sejurus tiba dari Bangkok, Thailand selepas lawatan rasmi dua hari ke negara jiran itu yang bermula pada Khamis.

“Kerajaan Malaysia telah mengutus dua pasukan mencari dan menyelamat SMART serta membina satu field hospital (lapangan), selain rakyat yang turut mengumpul dana bagi membantu saudara di sana,” katanya.

Perdana Menteri dalam sidang media pada Rabu memaklumkan Malaysia akan menyalurkan sumbangan lebih US$2 juta (lebih RM8.6 juta) kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu.

Sementara itu, Malaysia telah menghantar dua Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu pada Isnin dan Rabu lepas.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga telah mengatur gerak petugas dan kelengkapan Hospital Medan Malaysia (HMM) Tahap Tiga ke Turkiye untuk tempoh enam minggu bagi memberi bantuan kemanusiaan.

Gempa bumi kuat berukuran 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria telah meragut lebih 23,000 nyawa di Turkiye dan Syria. Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.