PASIR MAS, 11 FEB: Anggota polis cedera dilanggar motosikal yang ditunggang pendatang asing tanpa izin ketika bertugas di Ops Bersepadu Jalan Pasir Mas - Rantau Panjang, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata dalam kejadian 10 pagi itu, suspek lelaki warga Thailand yang menunggang motosikal Honda Wave kelabu secara tiba-tiba membuat pusingan U, disyaki untuk melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR).
Katanya Lans Koperal Nasim AimanNor Resat yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas cuba menghalang suspek tetapi dilanggar menyebabkan kecederaan pada bahagian betis kanan, lapor Berita Harian.
"Mangsa dibawa ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan dan menerima 13 jahitan akibat kecederaan itu manakala suspek berusia 19 tahun berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Pasir Mas bagi siasatan lanjut.
"Hasil pemeriksaan ke atas motosikal suspek mendapati, terdapat sekotak rokok dan satu tiub lut sinar yang berisi 10 pil berwarna merah disyaki dadah selain ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Selain itu katanya suspek juga tidak mempunyai pasport atau dokumen perjalanan diri yang sah.
Semalam, tular di media sosial video berdurasi 15 saat menunjukkan suspek melanggar anggota polis bertugas serta dilihat cuba melarikan diri.
Nik Aminuddin berkata suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah manakala kes disiasat di bawah Seksyen 332 K/K/6(1)(c) Akta Img 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri sah.
Suspek turut disiasat mengikut 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu melulu, tanpa mengendahkan peraturan jalan raya sehingga mendatangkan kecelakaan kepada anggota keselamatan.