ad
AGENSI

LZS santuni ibu pesakit mental diusir bersama tujuh anak

5 Feb 2023, 7:23 AM
LZS santuni ibu pesakit mental diusir bersama tujuh anak

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 5 FEB: Seorang ibu penghidap sakit mental bersama tujuh anak yang diusir daripada rumah sewa mereka mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Tuan rumah dimaklum tidak dapat memberikan tempoh kerana sewa tertunggak sejak Oktober tahun lalu sehingga pemiliknya berdepan masalah melunaskan ansuran bulanan.

"Ibu ini merupakan pesakit mental yang bergantung dengan ubat-ubatan psikiatri untuk mengawal emosinya menjadi agresif dan tidak terkawal. Dia juga perlu menanggung tujuh anak yang berusia di antara 14 hingga empat tahun.

"Suaminya pula dikhabarkan kerap tidak pulang ke rumah setelah bernikah lain serta menguruskan keluarga baru," katanya menerusi Facebook.

Skuad Saidina Umar (SSU) bertindak menyerahkan sumbangan wang tunai manakala bantuan lain diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan jiran tetangga.

Katanya, tuan rumah juga bersetuju untuk meneruskan sewaan yang mana tunggakan dan bayaran bulanan akan diuruskan oleh LZS.

"Kes ini juga akan dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mendapatkan bantuan menerusi khidmat kaunseling serta akta perlindungan buat mereka," tambahnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.