ad
AGENDA

Amaran hujan berterusan di Sarawak, Sabah, Pahang dan Johor hingga 1 Feb

30 Jan 2023, 9:19 AM
Amaran hujan berterusan di Sarawak, Sabah, Pahang dan Johor hingga 1 Feb

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi beberapa kawasan di Sarawak, Sabah, Pahang dan Johor sehingga 1 Feb ini.

MetMalaysia menerusi amaran yang dikeluarkan pada 1.30 tengah hari tadi memaklumkan, hujan berterusan tahap buruk dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sibu, Selangau, Mukah, Daro, Matu, dan Dalat di Sarawak, serta Sandakan, Telupid, Beluran dan Kudat di Sabah.

Hujan berterusan tahap waspada pula diramal berlaku di Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin), Johor (Mersing dan Kota Tinggi), Sarawak (Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kanowit, Mukah, Tanjung Manis, Kapit (Song) an Bintulu) serta Ranau, Kota Belud dan Sandakan (Kinabatangan) di Sabah.

Dalam pada itu, hujan berterusan tahap waspada diramal berlaku pada hari ini di Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan berasingan meminta negeri-negeri mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah, serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan berisiko tinggi.

“Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon memastikan setiap pusat pemindahan sementara, dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut kenyataan itu. - BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.