ad
AGENDA

Bakar al-Quran: Kebebasan suara ada had, Sweden digesa bertindak tegas - Mohd Na’im

23 Jan 2023, 10:41 AM
Bakar al-Quran: Kebebasan suara ada had, Sweden digesa bertindak tegas - Mohd Na’im

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggesa pemerintah Sweden bertindak tegas terhadap perbuatan provokatif ahli politik pelampau yang membakar al-Quran di ibu negara itu.

Dato' Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata tindakan biadap ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan perlu dibantah kerana menyalahgunakan prinsip kebebasan bersuara serta mewujudkan ketidaktenteraman masyarakat dunia.

“Seluruh masyarakat diseru menghormati kemuliaan agama Islam, membudayakan dialog dan menyemarakkan nilai kehormatan sejagat bagi mewujudkan keharmonian hidup masyarakat dunia hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Paludan membuktikan kesungguhan Malaysia untuk menentang sebarang bentuk keganasan dan kebencian khususnya Islamofobia.

Paludan, pemimpin parti pelampau kanan Denmark ‘Stram Kurs’, diberikan kebenaran membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.