AGENSI

Mais, Mains bakal jalin kerjasama sebar luas dakwah pengurusan harta

22 Jan 2023, 6:41 AM
Mais, Mains bakal jalin kerjasama sebar luas dakwah pengurusan harta

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 22 JAN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) bakal menjalankan kerjasama strategik dalam menyebar luas dakwah berkenaan Pengurusan Harta Orang Islam.

Agensi itu memberitahu menerusi Facebook, kerjasama tersebut dibincangkan semasa lawatan pihak pengurusan Bahagian Harta Baitumal Mais ke pejabat Mains pada 17 Januari lalu.

"Dalam lawatan yang diketuai Pengarah Baitumal Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid, Mais turut berkongsi maklumat mengenai proses pelaksanaan wasiat dan hibah secara dalam talian melalui Sistem Wasiat dan Hibah (Siswa)," katanya.

Sehubungan itu, Mais berharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi membantu umat Islam dalam merancang dan menguruskan harta dengan baik mengikut Hukum Syarak serta menaikkan kredibiliti institusi agama demi kepentingan ummah.

Siswa dilancarkan pada Jun tahun lalu bagi membolehkan umat Islam membuat permohonan dan mendapat kelulusan secara dalam talian selain menawarkan penggunaan Electronik Know Your Customer (EKYC) yang diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia.

Selain itu, SISWA juga menggunakan tandatangan digital yang tertakluk di bawah Akta Tandatangan Digital 1997 dan pengesahan transaksi oleh pemohon, dilakukan secara One-Time Password (OTP).

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin merancang dan mengurus pembahagian harta bersama Baitulmal Mais boleh melayari pautan untuk permohonan wasiat atau hibah iaitu https://siswa.mais.gov.my

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.