ad
AGENDA

Operasi LRT laluan Kelana Jaya kembali pulih selepas alami gangguan suis

5 Jan 2023, 3:57 PM
Operasi LRT laluan Kelana Jaya kembali pulih selepas alami gangguan suis

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya kembali pulih selepas kerja baik pulih akibat gangguan suis pada landasan selesai jam 6.42 petang tadi.

Rapid Rail, dalam kenyataan, memaklumkan fungsi suis landasan itu adalah membolehkan tren menukar laluan dari satu landasan ke landasan bersebelahan.

“Pasukan teknikal telah dikerah sejurus gangguan berlaku bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih. Pihak operasi telah mengaktifkan pelan laluan alternatif dengan menggunakan satu landasan,” menurut kenyataan itu.

Kejadian pertama yang berlaku pada jam 4.24 petang tadi menyebabkan tren terpaksa dipandu secara manual di antara Stesen KL Sentral dan Stesen Pasar Seni manakala gangguan kedua telah berlaku di antara Stesen Damai dan Stesen Dato’ Keramat pada jam 5.26 petang.

Menurut Rapid Rail, perkhidmatan bas perantara telah disediakan bagi menampung jumlah penumpang melibatkan enam stesen iaitu dari Stesen KLCC hingga Stesen Setiawangsa sebagai pengangkutan alternatif.

Kakitangan operasi dan polis bantuan juga telah ditempatkan di stesen bagi membantu melancarkan pergerakan penumpang yang terjejas.

Rapid Rail turut memohon maaf kepada penumpang yang mengalami kesulitan susulan kejadian itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.