AGENDA

Gempa Cianjur: Angka korban meningkat kepada 103

22 Nov 2022, 7:15 AM
Gempa Cianjur: Angka korban meningkat kepada 103

JAKARTA, 22 NOV: Angka kematian akibat gempa bumi bermagnitud 5.6 di daerah Cianjur, Jawa Barat meningkat kepada 103 orang.

Sekurang-kurangnya 390 orang cedera dan 31 masih hilang, menurut data Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia setakat 9.55 pagi waktu tempatan hari ini.

Jurucakap BNPB Abdul Muhari berkata pasukan penyelamat sedang meneruskan usaha mencari mangsa yang terselamat berikutan gempa bumi di darat pada Isnin berhampiran kawasan pergunungan Cianjur.

Lebih 7,100 orang termasuk daripada lapan keluarga di Sukabumi dan empat di Bogor ditempatkan di pusat pemindahan selepas 3,075 rumah rosak.

Gempa yang mencetuskan tanah runtuh dan merosakkan jalan raya di Cugenang dan Cijedil itu turut meruntuhkan dua jambatan, menurut kenyataan BNPB.

Abdul Muhari berkata lebih 118 gegaran susulan antara 1.5 dan 4.2 pada skala Richter direkodkan sejak gempa itu melanda.

Pihak Berkuasa Daerah Cianjur mengisytiharkan status respons kecemasan selama 30 hari sejak Isnin untuk menangani pasca bencana serta pemulihan.

BNPB menyediakan 1.5 bilion rupiah (RM438,000) untuk menampung perbelanjaan segera selain 500 juta rupiah (RM145,000) lagi pembiayaan khusus untuk logistik, katanya. - BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.