AGENSI

LZS rai 200 ketua, penolong amil

16 Nov 2022, 3:34 AM
LZS rai 200 ketua, penolong amil

SHAH ALAM, 16 NOV: Lembaga Zakat Selangor (LZS) meraikan 200 ketua, penolong amil kariah pada Majlis Anugerah Ketua dan Penolong Amil Negeri Selangor 2021 pada 12 November 2022.

Turut diraikan penolong amil fitrah dan penolong amil padi yang telah memberi komitmen serta sumbangan dalam memudahkan pengeluar zakat selain menyantuni golongan asnaf.

Mereka dilantik LZS di sembilan daerah bagi membantu urusan kutipan dan agihan zakat di Selangor.

"Pada majlis itu 88 penerima menerima anugerah membabitkan lima kategori iaitu Anugerah Ketua Penolong Amil Kariah Terbaik, Anugerah Penolong Amil Kariah Terbaik dan Anugerah Ketua Penolong Amil Fitrah Terbaik.

"Dua lagi ialah Anugerah Penolong Amil Fitrah Terbaik dan Anugerah Penolong Amil Padi Terbaik," kata LZS menerusi kenyataan di Facebook.

Katanya, penerima anugerah menerima wang tunai, sijil penghargaan serta plak yang mana mereka dipilih berdasarkan Penilaian Prestasi Tahunan 2021 yang dilaksanakan LZS.

Untuk rekod, sehingga kini LZS mempunyai seramai 1,926 penolong amil kariah, 2,747 penolong amil fitrah dan 24 penolong amil padi di seluruh Selangor.

Mereka berperanan sebagai perantara dan pemudah cara LZS dengan masyarakat terutamanya yang melibatkan kariah.

Hadir pada majlis itu adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohamad Khair Zainal dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.