AGENDA

Dana besar martabat syiar Islam, yakin rakyat tolak dakwaan agama terancam

12 Nov 2022, 12:07 AM
Dana besar martabat syiar Islam, yakin rakyat tolak dakwaan agama terancam

GOMBAK, 12 NOV: Dato’ Seri Amirudin Shari yakin umat Islam tidak termakan dengan dakyah kononnya kedudukan Islam dan Melayu terancam sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor.

Calon Parlimen Gombak itu berkata Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan besar setiap tahun untuk membangunkan Islam sekali gus menjawab dakwaan pihak tertentu bahawa DAP mengancam Islam.

“Selangor sudah 18 tahun ditadbir HARAPAN dan tiada masalah pun…di Shah Alam ada masjid yang dua kali azan subuh, satu untuk mengejutkan orang manakala satu lagi menandakan masuk waktu.

“Saya percaya orang Selangor tidak termakan dengan dakyah ini, 16 November depan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turun ke Gombak bagi sokongan dan tutup mulut mereka yang cuba memisahkan kita,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berucap dalam kenduri rakyat di Kampung Changkat Kiri di sini, malam tadi.

Penyandang Parlimen Gombak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menggunakan isu ancaman DAP terhadap Islam selain mendakwa peruntukan agama Islam selepas zaman pentadbirannya berkurangan RM60 juta setahun.

Dato’ Menteri Besar menegaskan Kerajaan Selangor tidak pernah sesekali mengurangkan peruntukan tahunan agama Islam, malah dana tersebut kekal paling besar demi memartabat syiar Islam.

Kira-kira RM1.4 bilion disediakan Kerajaan Selangor menerusi empat belanjawan negeri khusus untuk memartabatkan Islam sejak 2019.

Amirudin diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat pencabar iaitu  Mohamed Azmin dari Perikatan Nasional dan Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional).

Dua lagi calon ialah Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan seorang calon Bebas Zulkifli Ahmad.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.