AGENDA

KEADILAN tanding 21 kerusi DUN di Perak, tampil 17 muka baharu

3 Nov 2022, 12:08 PM
KEADILAN tanding 21 kerusi DUN di Perak, tampil 17 muka baharu

IPOH, 3 NOV: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Perak mengumumkan bertanding 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dengan menampilkan 17 muka baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Pengerusinya Chang Lih Kang, berkata daripada jumlah itu 11 calon adalah berusia bawah 40 tahun dengan calon termuda, Mohamad Jamean Zulkepli, berusia 28 tahun, bertanding di DUN Kenering.

"Lima calon merupakan bekas penjawat awam terdiri daripada tenaga pengajar serta bekas Ketua Setiausaha kementerian dan kita juga turut menampilkan lima calon wanita," katanya pada sidang media sempena pengumuman calon, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai langkah yang akan diambil bagi mengelakkan lompat parti, Chang berkata pindaan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti diletakkan sebagai agenda utama sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) diberi mandat membentuk kerajaan negeri.

“Selain daripada itu semua calon kita telah menandatangani aku janji, selain pengisytiharan harta. Wakil rakyat yang telah dipilih tidak boleh lompat parti atau khianat mandat rakyat, kalau berlaku, mereka perlu bayar pampasan yang sangat tinggi," katanya.

Sementara itu, Chang berkata belum tiba masanya untuk menentukan atau meletakkan seseorang sebagai calon Menteri Besar (MB).

"Memang tidak ada perbincangan dan persetujuan buat masa ini untuk memilih calon sebagai MB, namun kita mempunyai ramai calon yang layak untuk duduk kerusi itu.

"Paling penting kena menang dahulu PRU15, memang kita akui calon kita di Kuala Sepetang, Datuk Zainal Azman Abu Seman seorang calon yang berwibawa namun fokus kita harus memenangi dahulu untuk kembali mentadbir," katanya.

Terdahulu, Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli mengesahkan HARAPAN telah menamakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Zainal Azman Abu Seman sebagai calon Menteri Besar sekiranya HARAPAN berjaya menawan negeri itu. - BERNAMA

Berikut senarai calon KEADILAN bagi kerusi DUN Perak:

Temengor - Ahmad Safwan Mohamad

Kenering - Mohamad Jamean Zulkepli

Batu Kurau - Muhamad Aiman Aizuddin Md Husin

Kuala Kurau - Anuar Ahmad

Alor Pongsu - Khairul Azman Ahmad

Kuala Sepetang - Zainal Azman Abu Seman

Trong - Junaida Jamaludin

Chenderoh - Mohd Khairul Iwan Mat Khairi

Lintang - Za’im Sidqi Zulkifly

Hulu Kinta - Muhamad Arafat Varisai Mahamad

Bukit Chandan - Mohamad Hairul Amir Sabri

Pengkalan Baharu - Abul Jais Ashfaq Ahmed

Bota - Usaili Alias

Tualang Sekah - Mohd Azlan Helmi Helmi

Simpang Pulai - Wong Chai Yi

Teja - Ng Shy Ching

Chenderiang - Atyrah Hanim Razali

Sungai Manik - Mohamad Maharani Md Tasi

Pangkor - Abdul Razak Nazri

Hutan Melintang - S. Wasanthee

Slim - Mohd Syahid Mohd Zaini