ad
AGENDA

Sentiasa bantu rakyat, Amirudin pilihan tepat lawan khianat

29 Okt 2022, 2:46 AM
Sentiasa bantu rakyat, Amirudin pilihan tepat lawan khianat

SHAH ALAM, 29 OKT: Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor menyifatkan pemilihan Dato' Menteri Besar sebagai calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Gombak adalah tepat.

Pengarah komunikasinya berkata Dato’ Seri Amirudin Shari diyakini dapat merampas semula kerusi kawasan itu daripada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengkhianati parti sebelum ini.

Jelas Azmizam Zaman Huri, pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor itu juga mempunyai rekod cemerlang dalam mentadbir negeri terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua.

"Pelbagai program menyantuni rakyat melalui Inisiatif Selangor Penyayang telah dilaksanakan pascapandemik Covid-19 demi membantu negeri ini pulih dan kembali di landasan sepatutnya," katanya menerusi kenyataan.

Malam tadi, Amirudin diumum sebagai calon HARAPAN di Parlimen Gombak yang dijangka bertembung dengan penyandangnya, Azmin yang meninggalkan KEADILAN hingga mengakibatkan kerajaan gabungan tersebut tumbang pada Februari 2020.

Beliau yang juga naib presiden KEADILAN merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua selama tiga penggal. Pada PRU14, Amirudin menewaskan calon Barisan Nasional, N Rawisandran dengan majoriti undi 11,374.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.