AGENDA

Hujan, ribut akibatkan banjir kilat dan pokok tumbang di Melaka

23 Okt 2022, 12:08 AM
Hujan, ribut akibatkan banjir kilat dan pokok tumbang di Melaka

MELAKA, 23 OKT: Hujan lebat beserta ribut petang semalam mengakibatkan banjir kilat dan pokok tumbang di beberapa tempat di Melaka.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata kejadian itu menyebabkan rumah serta premis kediaman rosak selain kenderaan dihempap pokok, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Empat kawasan kediaman di Durian Tunggal, Alor Gajah juga dinaiki air susulan limpahan air sungai berhampiran, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan lima keluarga ditempatkan di balai raya berhampiran sehingga keadaan terkawal.

“Banjir kilat itu membabitkan Kampung Gadek, Kampung Bukit Tambun, Kampung Punggur dan Kampung Bukit Balai dan 19 mangsa itu ditempatkan sementara di balai raya Bukit Tambun dan Bukit Balai di sini,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri memaklumkan tiga laporan membabitkan dahan pokok menghempap kenderaan diterima di sekitar daerah Melaka Tengah.

Katanya bagaimanapun semua mangsa yang berada di dalam kenderaan berjaya dibawa keluar dengan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Ketiga-tiga kes diterima antara pukul 6.25 petang hingga pukul 8.29 malam,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.