SHAH ALAM, 19 OKT: Hadiah keseluruhan RM1,140 menanti pemenang pakaian beragam sekeluarga sempena Jelajah Selangor Penyayang di Klang hujung minggu ini.
Bermula jam 10 pagi, pertandingan yang tidak dikenakan sebarang bayaran dijadual berlangsung pentas utama Stadium Sultan Suleiman pada 22 Oktober.
Pemenang tempat pertama berpeluang membawa pulang wang tunai RM300, tempat kedua (RM200) dan RM150 bagi tempat ketiga.
Selain itu, lima pemenang saguhati bakal menerima RM50 selain 12 saguhati penyertaan masing-masing diberi RM20.
Keluarga yang berminat untuk menyertai boleh mendaftar dengan mengimbas kod QR di poster.

Klang menjadi daerah seterusnya Jelajah Selangor Penyayang 2.0 selepas Sabak Bernam bagi memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat.
Berlangsung mulai 22 hingga 23 Oktober, jelajah bertemakan 'Membina Keluarga Penyayang' turut menyajikan pelbagai acara antaranya persembahan artis, saringan percuma, jualan barangan asas murah dan pameran.
Turut diadakan cabutan bertuah, pertandingan e-sukan, mewarna dan acara sukan rakyat seperti tarik tali, gusti lengan dan liga penalti.
Acara selama dua hari itu bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan diteruskan ke daerah lain setiap minggu sehingga awal November.
Pada 29 dan 30 Oktober, acara sama akan diadakan di KIP Sentral, Sepang sementara pada 5 dan 6 November di Persiaran As Salam, Hulu Selangor.
Sebelum ini, ia diadakan di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat, Stadium Utama Kuala Selangor, Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Padang Awam Batu Caves.


