SHAH ALAM, 19 OKT: Dua tertuduh kes culik warga Palestin bukan anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) setelah semakan dibuat, tegas Ketua Penerangannya Fahmi Fadzil.
"Saya sahkan bahawa dua individu tersebut Nidarayahu Zainal dan Raibafie Amdan, bukan anggota mana-mana cabang KEADILAN dan tiada kaitan dengan parti," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau mengulas tohmahan di media sosial termasuk sebaran foto kedua-duanya menggunakan simbol sokongan kepada parti tersebut menjelang dan selepas pilihan raya umum Mei 2018.
"Berhubung gambar mereka mengangkat bendera KEADILAN atau gambar akaun Facebook dengan logo parti sekitar 2018, ia merupakan tindakan dan pilihan individu terbabit," kata Fahmi lagi.
Gelombang sokongan kepada Pakatan Harapan, yang menggunakan logo KEADILAN, waktu itu cukup meluas sehingga ramai pengundi menaikkan pilihan masing-masing di akaun media sosial.
Ia mencetuskan fenomena luar biasa antara April dan Mei empat tahun lalu sehingga gabungan HARAPAN berjaya mencipta sejarah dengan menewaskan Barisan Nasional.
Fahmi juga mengucapkan tahniah atas tindakan pantas polis memberkas suspek dan membebaskan seorang warga Palestin yang diculik serta mendesak mereka dihadapkan ke muka pengadilan.


