AGENDA

Anwar mahu hak, kebajikan wanita terus diperjuang

16 Okt 2022, 1:38 AM
Anwar mahu hak, kebajikan wanita terus diperjuang

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 16 OKT: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) mahu sayap wanita gabungan itu terus komited memperjuangkan hak dan kebajikan golongan berkenaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata wanita HARAPAN perlu memecah tembok ketidakadilan daripada pemerintah rakus dan memberi keyakinan bahawa hak mereka tidak boleh dirampas dan dipersia-siakan begitu saja.

“Bangunkan jiwa merdeka dalam kalangan wanita dan tingkatkan martabat mereka.

“Perjuangan HARAPAN konsisten kita tidak akan sekali-kali khianati amanah rakyat termasuk kepada wanita. Tidak ada ertinya perjuangan jika kita tidak dapat terjemahkan dan laksanakan.

“Kita akan bawa perubahan dan pastikan calon kita menang dengan bergaya. Relevannya reformasi HARAPAN adalah kita menegakkan keadilan untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Iltizam & Jentera Wanita HARAPAN pilihan raya umum ke-15 (PRU15) di Dewan Raja Muda Musa semalam.