AGENDA

Pemandu e-panggilan didakwa bunuh kanak-kanak empat tahun

13 Okt 2022, 6:21 AM
Pemandu e-panggilan didakwa bunuh kanak-kanak empat tahun

JOHOR BAHRU, 13 OKT: Seorang pemandu e-panggilan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, awal Oktober lepas.

Chan Wan Jie , 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki itu di sebuah rumah di Taman Skudai Ria, Skudai di sini antara pukul 8 hingga 8.30 malam 2 Oktober lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh diwakili peguam K. Veeranesh Babu.

Majistret R.Salini menetapkan 17 November sebutan semula kes.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang pembantu rumah warga Indonesia yang turut ditahan dalam kes tersebut dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Yuliana, 40, didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama jam 10.15 pagi 3 Oktober lepas.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.