AGENDA

Mesyuarat tentukan tarikh PRU15 pada 20 Oktober - SPR

11 Okt 2022, 11:19 AM
Mesyuarat tentukan tarikh PRU15 pada 20 Oktober - SPR

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Mesyuarat khas untuk membincang dan menentukan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah akan diadakan pada 20 Okt ini.

Setiausaha Suruhanjaya Piihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata mesyuarat yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi Tan Sri Abdul Ghani Salleh itu akan diadakan di Menara SPR, Putrajaya pukul 10 pagi.

"Pengerusi SPR akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU15 dan PRK DUN N.66 Bugaya, seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, serta Daftar Pemilih yang akan digunakan, dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan kedua-dua pilihan raya itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Susulan pengumuman itu, pilihan raya umum perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.