ad
AGENDA

MB menghadap sultan esok, sembah maklum keputusan tidak bubar DUN

10 Okt 2022, 3:16 PM
MB menghadap sultan esok, sembah maklum keputusan tidak bubar DUN

GOMBAK, 10 OKT: Dato' Menteri Besar akan mengadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj esok untuk menyembah maklum keputusan tidak membubar Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan Selangor kekal dengan pendirian sebelum ini berikutan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak mahu mengambil risiko kemungkinan banjir.

"Esok saya akan mengadap Tuanku dan apa juga keputusan akan dimuktamadkan selepas saya beri taklimat bersama Tuanku," katanya ketika ditemui dalam Karnival Jelajah Iltizam Selangor Penyayang di Selayang Baru di sini malam ini.

Amirudin yang juga pengerusi HARAPAN Selangor berkata gabungan tersebut tidak mahu menggadai dan mengambil risiko kemungkinan banjir dan mahu menumpu usaha menangani musim tengkujuh.

"Saya percaya Tuanku prihatin dengan rakyatnya dan seperti mana perbincangan sebelum ini keputusan dibuat negeri mengambil kira pandangan serta nasihat Tuanku," katanya.

Petang tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum Ke-15 (PRU-15).

Pada 5 Oktober, Majlis Presiden HARAPAN memutuskan tiga negeri tadbiran HARAPAN iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubar DUN jika PRU15 diadakan tahun ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.