AGENDA

Alat kesan paras air dipasang di Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor

30 Sep 2022, 9:59 AM
Alat kesan paras air dipasang di Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor

SHAH ALAM, 30 SEPT: Sebuah alat mengesan paras air menerusi Projek Sistem Amaran Banjir (TRIBAN) dipasang di Kampung Rantau Panjang, Kuala Selangor.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi Facebook memaklumkan TRIBAN akan menghantar maklumat ke telefon pintar secara automatik apabila paras air melebihi had ditetapkan.

"Alat ini dipasang di kawasan yang dikenal pasti sering dinaiki air dengan kerjasama pejabat tanah, ketua kampung dan pemilik tanah.

"Kejadian banjir yang berlaku pada Mei lalu telah membuktikan keberkesanannya. Dengan amaran kecemasan yang disalurkan oleh TRIBAN dari lokasi banjir membolehkan arahan tindakan penyelamatan diberi dengan lebih pantas dan efisien," katanya.

Terdahulu, beliau diiringi Ahli Dewan Negeri Permatang Pasir, Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil menghadiri pembentangan Inovasi Banjir oleh Ketua Balai Bomba Bestari Jaya Azrel Izaidi Ahmad di Balai Bomba Bestari Jaya.

Nadma melaporkan sebanyak lapan daripada sembilan daerah di Selangor dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ banjir.

Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan daerah terlibat ialah Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor manakala daerah yang tidak disenaraikan adalah Hulu Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.