ad
AGENDA

MBI taja RM30,000, sokong peluncur ais usia 10 tahun berlatih di Korea Selatan

26 Sep 2022, 2:58 PM
MBI taja RM30,000, sokong peluncur ais usia 10 tahun berlatih di Korea Selatan

PETALING JAYA, 26 SEPT:  Atlet luncur ais berusia 10 tahun, Sree Abiraame B Chendren menerima tajaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berjumlah RM30,000, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MBI berkata tajaan kepada atlet tersebut merangkumi latihan selama tiga tahun bersama kelab terkemuka Korea Selatan, The Skating Club Jewels.

Maklum Norita Mohd Sidek, tajaan tersebut sebagai menyokong persediaan awal Sree Abiraame bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik remaja musim sejuk 2028 dan Sukan Olimpik musim sejuk 2030.

“Walaupun berusia 10 tahun, keazaman dan kecekalan yang ditunjukkan adik ini untuk berjaya wajar dipuji dan disokong. Ia selari dengan iltizam kami dalam membangunkan komuniti sihat menerusi sukan.

“Diharapkan persiapan awal yang dilakukan ini akan membantu Sri Abiraame mengharumkan nama negara dalam acara sukan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan tajaan itu kepada Pengasas Yayasan Sree Abiramee yang juga bapa atlet berkenaan,  B Chendren Balakrishnan di Sunway Piramid Hotel di sini.

Atlet kelahiran Selangor itu setakat ini telah mengumpul lebih 50 pingat emas dalam pelbagai pertandingan dalam dan luar negara dengan terbaru merangkul trofi Tallin 2021 di Estonia pada November lepas.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.