SUBANG JAYA, 23 SEPT: Petaling kini menjadi daerah di negeri ini yang memiliki pusat ibadah Islam terbanyak dengan 90 masjid dan 406 surau.
Orang Besar Daerah Dato’ Emran Kadir berkata ketika ini juga Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor menerima permohonan membina 23 masjid dan 67 surau.
“Pembinaan institusi agama ini bertujuan memenuhi kemaslahatan umat Islam untuk mereka menjalani ibadah dalam situasi kondusif dan tenang.
“Bilangan penduduk semakin meningkat secara drastik disebabkan pembinaan kawasan penempatan baharu selain faktor migrasi penduduk atas faktor ekonomi dan pekerjaan,” katanya di Masjid Putra Height di sini malam tadi.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyempurnakan perasmian masjid berkenaan.
Masjid Putra Height mula dibina oleh syarikat kontraktor Mizura Bhd pada November 2017 dan siap sepenuhnya pada April lalu melibatkan kos melebihi RM20 juta.
Bangunan dua tingkat itu turut dilengkapi dewan serbaguna yang mampu menampung kira-kira 5,000 jemaah dalam satu-satu masa sekali gus menjadikannya antara masjid terbesar dalam daerah Petaling.


