AGENDA

Harimau Muda terlepas peluang beraksi di Piala Asia B20

18 Sep 2022, 12:10 PM
Harimau Muda terlepas peluang beraksi di Piala Asia B20

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Skuad Bawah (B) - 19 tahun kebangsaan terpaksa melupakan hasrat beraksi di Piala Asia B-20 tahun depan selepas dibelasah 6-2 oleh Korea Selatan di Stadium Persekutuan Bolasepak Mongolia (MFF), Ulaanbaatar, hari ini.

Pada aksi terakhir Kumpulan E pusingan kelayakan itu, penyerang Suwon FC Lee Youngjun menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Muda, apabila meledak hatrik menerusi jaringan pada minit ke-34, 74 dan 81.

Korea Selatan turut berpesta gol menerusi dua jaringan Lee Seungwon pada minit ke-57 dan penalti pada minit ke-88, manakala Bae Junho turut menepati sasaran pada minit ke-50.

Malaysia pula merapatkan jurang menerusi jaringan Adam Farhan Faizal pada minit ke-55 dan Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-68, manakala Ubaidullah Shamsul dibuang padang pada minit ke-67 selepas menerima kad kuning kedua.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara gagal menamatkan pusingan kelayakan di kedudukan dua teratas, selepas Mongolia membelasah Sri Lanka 7-0 pada aksi selepas itu untuk meraih tempat kedua kumpulan berdasarkan jumlah jaringan, walaupun kedua-dua pasukan berkongsi empat mata.

Skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras yang memulakan kempen dengan seri 1-1 menentang Mongolia, sebelum menewaskan Sri Lanka 3-0, mengumpul enam gol, kurang satu berbanding skuad tuan rumah.

Korea Selatan telahpun mengesahkan slot ke kejohanan itu selaku juara kumpulan, selepas berpesta gol 6-0 ke atas Sri Lanka dan 7-0 menentang Mongolia.

Hanya 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik berpeluang layak ke pusingan akhir di Uzbekistan yang dijadual berlangsung bermula 1-18 Mac depan. - BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.