AGENDA

22 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

15 Sep 2022, 10:47 AM
22 nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara

GEORGE TOWN, 15 SEPT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan dari Indonesia bersama 22 kru yang menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan di kedudukan 51.9 batu nautika barat daya Pulau Kendi, dekat sini semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata sebuah kapal maritim yang sedang menjalankan rondaan rutin Op Benteng Laut telah mengesan sebuah bot nelayan asing dalam keadaan mencurigakan pada 2.30 petang.

"Pemeriksaan ke atas bot nelayan asing dari Indonesia yang dikendalikan oleh 22 nelayan termasuk tekong itu mendapati kesemua mereka yang merupakan warga Indonesia tiada dokumen perjalanan diri iaitu pasport,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berusia lingkungan 20 hingga 56 tahun dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

“Orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut menerusi talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang 04-2626146,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.