AGENDA

Piala Dunia: Skuad hoki negara diundi bersama juara tiga kali Belanda

8 Sep 2022, 10:53 AM
Piala Dunia: Skuad hoki negara diundi bersama juara tiga kali Belanda
Piala Dunia: Skuad hoki negara diundi bersama juara tiga kali Belanda

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Skuad hoki lelaki negara bakal berdepan dengan tugas getir meskipun meletakan sasaran melepasi saingan peringkat kumpulan di pentas Piala Dunia 2023 yang akan berlangsung di Bhubaneswar dan Rourkela, India, dari 13 hingga 29 Januari depan.

Skuad bimbangan A. Arul Selvaraj berdepan dengan tugas mencabar setelah diundi dalam Kumpulan C bersama juara dunia tiga kali dan finalis edisi lepas, Belanda, juara Oceania, New Zealand dan jaguh benua Amerika Selatan, Chile.

Majlis undian tersebut disiarkan secara langsung dari India di laman web watch.hockey, hari ini.

Mengikut ranking dunia, Belanda selaku naib juara edisi lepas pada 2018, menduduki tangga ketiga, New Zealand ( 9), Malaysia (10) dan Chile di tangga ke-23.

Mengikut rekod pertemuan dengan Belanda, Malaysia hanya menang 2-1 pada Piala Dunia edisi 1975 di Kuala Lumpur dan seri tanpa jaringan pada Sukan Olimpik Sydney 2000 manakala tidak pernah menang dalam 11 pertemuan lain.

Pada Piala Dunia edisi lepas di India pada 2018, Belanda membenam Malaysia 7-0.

Skuad 'Speedy Tigers' berjaya mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2023 selepas muncul naib juara Piala Asia pada Mei lepas.

Ia merupakan kali kesembilan Malaysia layak ke Piala Dunia, dengan pencapaian terbaik ketika menamatkan saingan di tempat keempat pada 1975.

Sementara itu, Arul dalam satu video dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini, meletakkan sasaran Speedy Tigers melepasi peringkat kumpulan untuk mara ke suku akhir.

Beliau, bagaimanapun, berkata anak buahnya perlu bijak mengatur strategi ketika menentang Belanda, selain menyasarkan kemenangan ke atas New Zealand dan Chile.

“Persediaan pemain adalah berdasarkan latihan selama ini serta perlawanan persahabatan di Eropah dan kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022,” katanya.

- BERNAMA

 

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.