AGENSI

LZS turun padang jejak keluarga susah, daftar penerima zakat

1 Sep 2022, 10:11 AM
LZS turun padang jejak keluarga susah, daftar penerima zakat

SHAH ALAM, 1 SEPT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesan 24 keluarga yang layak menerima zakat menerusi Program Jejak Kemiskinan di Desa Mentari 2, Petaling Jaya.

Agensi itu memaklumkan program tersebut dilaksanakan bagi menjejaki umat Islam yang terbeban akibat peningkatan kos sara hidup serta mendaftarkan golongan tersebut sebagai penerima zakat.

“Disaat kenaikan kos kehidupan yang makin membebankan khususnya ke atas golongan asnaf fakir miskin, kami di Petaling masih terus menerus berusaha mengagihkan bantuan zakat kepada golongan yang layak.

“Hari ini, Program Jejak Kemiskinan di Desa Mentari 2 yang melibatkan Blok 9 dan 10 telah berjaya mengenal pasti seramai 24 keluarga yang layak menerima zakat,” katanya menerusi Facebook.

Selain 24 keluarga penerima zakat baharu, LZS juga menerima 46 permohonan bantuan bayaran tunggakan bil utiliti, susulan kos inflasi sara hidup.

“Tahniah kepada anda yang menunaikan zakat. Sedikit sebanyak telah meringankan bebanan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup pada saat yang genting ini,” katanya.

Pada 22 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar berkata seramai 600 keluarga berjaya keluar daripada senarai asnaf antara Januari hingga Jun lalu dan tidak lagi memerlukan bantuan LZS.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, agensi itu turut memperuntuk RM69.3 juta tahun lalu menerusi program Zakat Selangor Peduli yang menyediakan 19 inisiatif bantuan.