ad
AGENDA

Menteri: Harga siling ayam kekal RM9.40 sekilogram

28 Ogos 2022, 11:53 AM
Menteri: Harga siling ayam kekal RM9.40 sekilogram

PUTRAJAYA, 28 OGOS: Kerajaan bersetuju penetapan harga siling bagi ayam standard di pasaran diteruskan pada harga RM9.40 sekilogram, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata persetujuan yang dicapai secara sebulat suara oleh Jemaah Menteri dua hari lepas turut menyaksikan harga ayam tidak akan diapungkan di pasaran ekoran kegusaran yang ditimbulkan oleh segelintir pihak.

"Perincian lanjut berhubung keputusan meneruskan penetapan harga siling bagi ayam standard di seluruh negara akan diumumkan secara lebih lanjut dalam pasca mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi esok," katanya dalam ciapan di Twitter rasmi, di sini hari ini.

Pada 30 Julai lepas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof dilaporkan berkata mekanisme pelaksanaan harga siling ayam standard RM9.40 sekilogram di semenanjung mungkin tidak akan diteruskan kerajaan selepas 31 Ogos memandangkan bekalannya didapati semakin stabil hari demi hari.

Ini kerana harga pasaran ayam bulat sekarang berada di bawah siling malah terdapat penjual menawarkan harga serendah RM6.99 sekilogram.

Sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee dalam satu kenyataan berkata kerajaan akan mengkaji semula penetapan harga siling ayam standard serta kebenaran mengeksport selepas 31 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.