ad
AGENDA

Anwar: HARAPAN perlu tingkat kekuatan, tawan kembali hati rakyat

26 Ogos 2022, 12:40 AM
Anwar: HARAPAN perlu tingkat kekuatan, tawan kembali hati rakyat

SUBANG JAYA, 26 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) perlu membina kekuatan sendiri serta tidak berasa selesa untuk berdepan pilihan raya umum (PRU) susulan pergolakan dalaman Barisan Nasional ketika ini.

Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti gabungan perlu memikirkan arah tuju bagi menawan hati rakyat selain membuktikan kesungguhan perjuangan yang dibawa.

“Kita juga kena akui kelemahan termasuk semasa memerintah negara selama 22 bulan. Seperti yang kita sebut yang memerintah itu tidak mewakili pandangan reform.

“Jadi beberapa keputusan itu melanggar semangat reform yang kita nak bawa. Jadi kita kena akui kelemahan itu namun perlu fokus semula selepas ini,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian selepas seminar Pathway To Be A Better Future For Malaysia anjuran Institut Darul Ehsan di Hotel Dorsett Grand Subang, di sini.

Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata HARAPAN juga perlu berusaha mengembalikan keyakinan rakyat selepas kecewa dengan pentadbiran ketika itu.

“Orang rasa sinis, rasa kecewa. Kita kena yakinkan mereka semula. Kena tolak rasuah, tak kira dari mana-mana pemimpin dan parti. Kita kena selamatkan negara dan rakyat,” katanya lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.