ad
AGENSI

Pekawanis latih 60 ibu tunggal sediakan makanan sejuk beku

11 Ogos 2022, 3:25 AM
Pekawanis latih 60 ibu tunggal sediakan makanan sejuk beku

SHAH ALAM, 11 OGOS: Seramai 60 ibu tunggal berpendapatan rendah (B40) mengikuti program penyediaan makanan sejuk beku anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) pada Ahad.

Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Muhamad berkata menerusi inisiatif Nur Pekawanis itu, peserta diajar menyediakan lima jenis kuih antaranya karipap, cucur badak dan samosa.

“Peserta mewakili semua Dewan Undangan Negeri. Mereka akan dipantau selama dua bulan dan Pekawanis mengikuti perkembangan mereka dalam tempoh itu.

“Sekiranya berpotensi untuk memulakan perniagaan, Pekawanis akan membantu dapatkan bantuan Yayasan Hijrah Selangor. Peserta juga dinilai dan yang terbaik bakal diangkat sebagai ikon,” katanya kepada SelangorKini.

Isteri Dato’ Menteri Besar berkata program Nur Pekawanis akan diteruskan dengan kursus urutan spa, solekan wajah serta jahitan selepas ini.

“Kita selesaikan secara berperingkat. Ini untuk pastikan apa yang dirancang berjalan lancar dan mencapai matlamat,” katanya.

Sebelum ini Masdiana memaklumkan pihaknya bakal melancarkan program membentuk kemahiran ibu tunggal dalam kalangan B40.

Peserta akan dilatih dari awal sehingga mereka mampu menjana ekonomi sendiri selain berpotensi menjadi tenaga pengajar untuk peserta lain.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.