ad
PBT

Dua premis gagal kemuka laporan kesihatan pekerja kena kompaun

30 Jul 2022, 3:00 PM
Dua premis gagal kemuka laporan kesihatan pekerja kena kompaun

SHAH ALAM, 30 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan kompaun kepada dua premis rumah urut kerana gagal mengemukakan bukti laporan pemeriksaan kesihatan pekerja.

Menurut MBPJ, ia adalah hasil operasi yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Persekitaran (UPK), Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ di tiga premis rumah urut di Sunway Giza, Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

"Operasi itu bertujuan memastikan pekerja sihat dan pelanggan tidak terdedah dengan penyakit berjangkit dan kami mendapati dua premis terbabit melanggar syarat lesen iaitu memastikan setiap pekerja membuat pemeriksaan kesihatan oleh pegawai kesihatan yang bertauliah.

"Ia juga bertujuan memantau kesalahan salah guna lesen yang dibenarkan oleh MBPJ dan pengubahsuaian premis jika berlaku," kongsinya di Facebook.

Justeru, kompaun sebanyak RM1,000 telah dikeluarkan di bawah UUK 9(1) Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MBPJ 2013 atas kesalahan gagal mengemukakan bukti laporan pemeriksaan kesihatan pekerja.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.