SHAH ALAM, 18 JULAI: Persidangan Parlimen hari ini merakamkan takziah kepada ahli keluarga mangsa MH17 yang terkorban pada 17 Julai 2014.
Ucapan itu dizahirkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bagi mengingati tragedi malang yang genap lapan tahun semalam sebelum sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
"Saya dan semua ahli dewan rakyat bersedih dengan insiden tersebut dan dengan demikian menzahirkan rasa simpati tidak terhingga kepada keluarga penumpang, sahabat dan anak kapal MH17, saya doakan keluarga kekal tabah dan cekal," katanya.
Azhar kemudian meminta anggota Parlimen berdiri dan menghadiahkan al-Fatihah atau bertafakur selama seminit bagi bukan Islam.
MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, di ruang udara timur Ukraine. Kejadian itu mengorbankan kesemua 298 penumpang termasuk anak kapalnya.








