ad
AGENDA

GM Klang: FAM Trip beri impak positif terhadap pelancongan Selangor

2 Jul 2022, 12:04 AM
GM Klang: FAM Trip beri impak positif terhadap pelancongan Selangor

SHAH ALAM, 2 JULAI: Program FAM Trip Bersama Media Borneo 2022 anjuran Pusat Borong GM Klang (GM Klang) dilihat berjaya memberi impak positif terhadap segmen pelancongan domestik di Selangor.

Pengurus Komunikasi Jenama GM Klang Norsuhaida Othman berkata program lawatan ke beberapa lokasi menarik di Selangor itu, yang membabitkan petugas media dari Sabah dan Sarawak, berlangsung selama empat hari.

Beliau berkata program itu, yang bermula 27 Jun dan berakhir 30 Jun, berjaya menonjolkan beberapa lokasi menarik serta unik di Selangor seperti Bandar Klang.

“Bandar Klang memiliki pusat borong terbesar di Malaysia iaitu GM Klang yang mampu menjadi tarikan utama pelancong dari Sabah dan Sarawak yang inginkan kelainan dalam pengalaman membeli-belah.

“Selain menawarkan pelbagai jenis produk yang boleh dibeli secara borong, GM Klang juga membuka peluang bagi mereka yang ingin berkecimpung dalam bisnes kecil-kecilan melalui pengambilan stok-stok jualan daripada pemborong yang terdapat di sini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Norsuhaida berkata program itu turut mendapat sokongan Tourism Selangor, Tourism Malaysia Sabah, Tourism Malaysia Sarawak dan Majlis Perbandaran Klang.

Antara intipati program empat hari tiga malam itu ialah lawatan ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Taman Tasik Shah Alam, Pulau Ketam, GM Klang, GM Bukit Bintang dan beberapa lokasi bersejarah di Bandar Klang.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.