SHAH ALAM, 1 JULAI: Sepuluh pemain Selangor FC, Selangor FC 2 dan Selangor FC Piala Belia yang terpilih menyertai Skuad Kebangsaan B-19 dalam kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) berlepas ke Indonesia hari ini.
Selangor FC menerusi Facebook yakin penyertaan barisan pemainnya dapat memperkuatkan lagi skuad kebangsaan dalam aksi di Jakarta yang membuka tirainya 2 Julai.
"Semoga berjaya! Lakukan yang terbaik buat pasukan kebangsaan," tulisnya di Facebook pada 30 Jun.
Sementara itu, pengendali skuad B-19, Hassan Sazali Waras mengingatkan anak buahnya supaya tidak memandang mudah terhadap empat lagi pencabar dalam kumpulan B iaitu Loas, Timor Leste, Kemboja dan Singapura.
Hassan memaklumkan pihaknya menggunakan konsep penggiliran dalam memastikan kesemua 25 pemain mendapat peluang untuk beraksi dalam kejohanan itu.



