AGENDA

Negeri terima sumbangan lembu, kambing korban RM5.05 juta

22 Jun 2022, 3:27 AM
Negeri terima sumbangan lembu, kambing korban RM5.05 juta

SHAH ALAM, 22 JUN: Kerajaan Selangor menerima sumbangan 660 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing bernilai RM5.05 juta untuk ibadah korban tahun ini.

Sumbangan itu antaranya diperoleh daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), syarikat berkaitan kerajaan dan anak syarikat negeri, lapor Sinar Harian.

Menurut Dato' Menteri Besar, bantuan itu akan diagihkan kepada 400 masjid dan surau, badan bukan kerajaan serta pusat khidmat masyarakat di seluruh negeri.

"Sebuah masjid atau surau akan dapat lebih kurang seekor lembu dan empat hingga lima ekor kambing berbanding hanya seekor atau dua ekor lembu sebelum ini.

"Pusat khidmat masyarakat akan dapat dua ekor lembu dan 10 ekor kambing di mana sebelum ini mereka hanya dapat empat ekor lembu," kata Dato' Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, EXCO Pemodenan Pertanian Ir Izham Hashim menjangka permintaan lembu bagi ibadah korban kali ini meningkat antara 5,000 hingga 6,000 ekor.

Jelasnya, ia susulan langkah Majlis Keselamatan Negara melonggarkan tatacara operasi piawai (SOP) selepas negara beralih ke fasa endemik.