SHAH ALAM, 21 JUN: Pemeriksaan kesihatan percuma anjuran Kerajaan Negeri diteruskan di tiga lokasi melibatkan Parlimen Kuala Langat dan Hulu Langat pada hujung minggu ini, mulai 9 pagi hingga 5 petang.
Berdasarkan perkongsian EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook, program Selangor Saring merangkumi DUN Banting, Morib dan Tanjung Sepat diadakan di Dataran Pantai Morib pada 25 Jun, lokasi sama penganjuran Jelajah Selangor Penyayang.
Pada 26 Jun, saringan melibatkan DUN Dusun Tua berlangsung di Dewan Komuniti Kampung Batu 9, Cheras manakala DUN Semenyih di Dewan Komuniti Taman Pelangi, Semenyih.
Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.
Program hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.



