SHAH ALAM, 21 JUN: Kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Kolam Air Bukit Dengkil dimulakan 9 pagi ini mengikut jadual seperti diumumkan pada 10 Jun lalu.
Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), pembaikan tersebut mengambil masa 24 jam dan agihan air ke 47 kawasan dalam wilayah Petaling dibuat secara berperingkat.
"Kerja-kerja penambahbaikan dijangka siap jam 9 malam ini. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.
"Tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza, bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan," katanya di Facebook.
Syarikat itu juga akan menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan mengutamakan premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Maklumat lanjut kawasan terlibat dan agihan air dimuatkan di aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi talian 15300.


