ad
AGENDA

Tiga lagi pusat kitar semula bakal dibuka tahun ini

17 Jun 2022, 3:32 PM
Tiga lagi pusat kitar semula bakal dibuka tahun ini

SHAH ALAM, 17 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan membuka tiga lagi kemudahan kitar semula bahan (MRF) menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir memaklumkan pusat kitar semula itu bakal dibuka di Sepang, Ampang dan Hulu Selangor.

"Setakat ini, kawasan Sepang sudah mendapat persetujuan sepenuhnya manakala Ampang dan Hulu Selangor masih dalam perbincangan dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat.

"Ia akan menjadikan jumlah keseluruhannya kepada lima pusat kitar semula termasuk Meru di Klang dan Bukit Puchong di Subang Jaya," katanya kepada Selangorkini.

Tambahnya, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kitar semula, pihaknya akan memperluaskan program pendidikan dengan kerjasama pelbagai pihak sepanjang tahun ini.

"Fokus kita adalah ingin meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat kebaikan kitar semula kepada alam sekitar.

"Kita juga merancang supaya setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mempunyai pusat kitar semula sendiri untuk kemudahan masyarakat," katanya.

Pada 26 November lalu, Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2022 berkata pusat MRF akan diperluaskan ke setiap daerah bagi mengurangkan bahan dan peralatan yang mempunyai unsur pakai buang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.