ad
AGENSI

Wanita bawa anak minta sedekah terima bantuan wang, makanan setiap bulan

16 Jun 2022, 11:12 AM
Wanita bawa anak minta sedekah terima bantuan wang, makanan setiap bulan

SHAH ALAM, 15 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menasihati orang awam supaya menyelidik dahulu status seseorang sebelum bersedekah bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Agensi itu memaklumkan pihaknya mengesan ada keluarga asnaf fakir yang berdaftar dengan LZS bertindak sedemikian meskipun menerima bantuan mencukupi setiap bulan.

"Isu meminta sedekah ini bukanlah di bawah bidang kuasa kami, namun atas tanggungjawab kami mampu menegur secara baik agar sikap ini tidak mendatangkan fitnah pada diri, keluarga, masyarakat dan agama.

"Kami merayu kepada orang awam, sekiranya terjumpa kes sebegini, semak terlebih dahulu. Dikhuatiri niat baik bersedekah menjadi lubuk buat mereka yang suka mengambil kesempatan," katanya di Facebook.

Pada 10 Jun lalu, Skuad Saidina Umar (SSU) LZS terserempak dengan seorang wanita bersama dua anak meminta sedekah di luar pekarangan Masjid Nurul Iman Pekan Rawang selepas solat Jumaat.

LZS berkata semakan mendapati mereka adalah penerima bantuan kewangan dan makanan setiap bulan, manakala pembiayaan pendidikan tahunan tiga anak termasuk beberapa tunggakan hutang ditanggung sejak 2015.

Menurutnya, kunjungan ke rumah mereka di Bukit Beruntung segera dilakukan bagi melihat situasi sebenar kehidupan sebelum mendapati ketua keluarga mereka tidak bekerja akibat masalah kesihatan.

"Pasangan ini mempunyai tiga anak yang masih bersekolah rendah. Kebiasaannya dua anak akan mengikut ibu mereka setiap jumaat meminta sedekah di masjid sekitar manakala seorang lagi tinggal di rumah untuk menjaga ayahnya.

"Sebelum ini juga mereka pernah ditegur kerana sikap suka meminta sedekah seperti ini dengan alasan yang sama," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.