AGENDA

Selangor laksana projek rintis teknologi baharu pantau lokasi denggi

15 Jun 2022, 4:00 AM
Selangor laksana projek rintis teknologi baharu pantau lokasi denggi

SHAH ALAM, 15 JUN: Kerajaan Selangor sedang melaksanakan projek rintis dengan mengimplementasi teknologi baharu bagi pemantauan lokasi denggi secara efisien.

EXCO kesihatan awam berkata projek itu membabitkan penggunaan dron dan pembangunan aplikasi pengesanan titik panas wabak yang boleh diakses orang awam.

"Tahun ini, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM5 juta bagi memastikan usaha pembendungan penularan wabak denggi terus dilaksanakan," kata Dr Siti Mariah Mahmud dalam kenyataan sempena sambutan Hari Denggi Asean 2022 hari ini.

Sementara itu beliau berkata Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) akan melaksanakan program di peringkat komuniti bagi meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran rakyat berhubung kepentingan langkah pencegahan wabak.

"Demam denggi berpunca daripada virus bawaan nyamuk Aedes yang telah dijangkiti. Demam denggi boleh dikawal oleh manusia dengan kesedaran dan perubahan tingkah laku dalam mencegah pembiakan nyamuk serta penularan wabak," katanya.

Belanjawan negeri 2022 memperuntukkan RM5 juta bagi mencegah dan mengawal denggi termasuk kaedah penerokaan teknologi baharu seperti dron untuk mengesan lokasi wabak selain membangunkan aplikasi.