SABAK BERNAM, 6 JUN: Majoriti peserta menjalani pemeriksaan kesihatan Selangor Saring mengalami kadar kolestrol agak tinggi.
Ahli Penasihat Kesihatan Awam Selangor Dr Mohammad Farhan Rusli berkata dapatan itu diperoleh hasil ujian darah yang dijalankan pada program tersebut bermula di Ijok pada Mei lalu.
"Selain itu, kita mengesan masalah buah pinggang iaitu ujian air kencing menunjukkan fungsinya tidak begitu baik diikuti ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) bagi mengesan kanser serviks.
"Bagaimanapun, berdasarkan saringan tidak semestinya mereka ada penyakit. Contohnya jika ujian HPV positif, tidak bermakna mereka ada kanser serviks tetapi risiko seseorang itu mendapat penyakit itu," katanya.
Beliau ditemui ketika menghadiri program Selangor Saring Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Kuan di sini semalam.
Jelas beliau, apabila keputusan diperoleh peserta adalah positif mereka perlu melakukan diagnostik seterusnya di hospital yang ditaja Kerajaan Negeri bagi membuat pengesahan.
"Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) akan menghubungi pesakit bagi memberi janji temu seterusnya untuk bertemu pakar.
"Setakat ini, peserta yang mempunyai keputusan positif HPV telah dibawa ke hospital bertemu dengan pakar untuk tindakan selanjutnya," katanya.


