SHAH ALAM, 5 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dato’ Dr Mohd Roslan Sulaiman.
Pada pertemuan itu Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dipersembahkan watikah lantikan semula baginda sebagai canselor UPM oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa 1 April lalu hingga 31 Mac 2029.
"Dato' naib canselor turut memaklumkan perkembangan terkini UPM dan acara-acara rasmi universiti akan datang," maklum Selangor Royal Office di Facebook.
Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Prof Dr Ismi Arif Ismail dan Ahli LPU UPM Engku Panglima Setia Diraja Dato’ Syed Haizam Jamalullail.
Sultan Sharafuddin dilantik sebagai canselor UPM sejak 2002 sehingga kini.


