SHAH ALAM, 31 MEI: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyumbang RM10,000 kepada Sekolah Kebangsaan Jalan Semenyih 1 bagi membaik pulih infrastruktur makmal komputer.
Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat berkata simbolik serahan dilakukan semalam ketika merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.
“Saya dimaklumkan bilik terbabit sudah lama tidak diguna kerana mengalami beberapa masalah infrastruktur.
“Selepas ini pelajar boleh gunakan kembali makmal komputer. Hasil diperolehi negeri akan kami kembalikan kepada rakyat,” kata Ahmad Azri Zainal Nor menerusi Facebook.
Jelasnya, bantuan berkenaan disalur selepas dua minggu permohonan dibuat pihak sekolah.
Tahun ini, MBI buat pertama kali melaksanakan program khusus melibatkan sekolah dan pelajar dengan jumlah belanja sebanyak RM1 juta.
Peruntukan itu merangkumi RM500,000 untuk pembangunan infrastruktur manakala RM500,000 bagi menjayakan program PIBG.


