BERITA UTAMA

Beberapa ajaran sesat bakal diwarta dalam sidang dewan negeri

30 Mei 2022, 3:00 PM
Beberapa ajaran sesat bakal diwarta dalam sidang dewan negeri
Beberapa ajaran sesat bakal diwarta dalam sidang dewan negeri

SHAH ALAM, 30 MEI: Beberapa ajaran sesat di negeri ini akan diwartakan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) akan datang, kata EXCO hal ehwal agama Islam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata perkara tersebut akan dibawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi mendapatkan sokongan dan melaksanakannya.

"Kita sudah mewartakan lebih 40 ke 50 ajaran sesat dan terbaharu mungkin dalam tiga atau empat antaranya ajaran Ibu Yati dan Wan Mashitah yang semuanya menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

[caption id="attachment_523433" align="alignright" width="380"] EXCO Agama Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada media selepas merasmikan penutupan Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Kebangsaan Jenayah Siber di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 30 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

"Dengan mewartakan sebahagian ajaran dan fahaman yang salah ini membolehkan kita mengambil tindakan pendakwaan kepada mereka," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Kebangsaan: Jenayah Siber di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Tambah Mohd Zawawi, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sentiasa membantu individu yang terpengaruh dengan menggunakan pendekatan dakwah dan tarbiah.

"Mereka ini akan dipanggil dalam sesi runding cara dan perlu bertaubat jika perlu selain program pengisytiharan taubat (istitabah) masih bergerak," katanya.